ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyifatkan pengumuman kerajaan menurunkan harga petrol RON95 dan pemberian bantuan tunai sebagai kelegaan besar kepada pengguna, terutama dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang masih mencengkam.
Presidennya, Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya amat menghargai langkah kerajaan menetapkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui mekanisme subsidi bersasar yang diperkenalkan.
“Kami benar-benar lega. Ramai yang bimbang harga RON95 akan naik, namun pengumuman penurunan harga dari RM2.05 kepada RM1.99 amat melegakan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai masih menanti penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan mekanisme itu dan golongan mana yang bakal menerima manfaat secara langsung.
“Kami ingin tahu bagaimana mekanisme ini dilaksanakan. Siapa sebenarnya yang layak? Siapa pula yang akan tercicir? Kami risau golongan yang tidak termasuk dalam kumpulan sasar akan terbeban dengan harga pasaran.
“Tetapi bagi mereka yang layak, ini sememangnya satu bentuk bantuan yang sangat bermakna memandangkan petrol ialah keperluan asas harian untuk isi rumah, peniaga kecil dan sektor perindustrian,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan agar mengambil pendekatan berhati-hati serta menyeluruh dalam menggubal mekanisme akhir bagi mengelakkan kesan berantai terhadap sektor ekonomi lain.
Difahamkan, butiran penuh mekanisme subsidi baharu itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung September ini dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna, termasuk golongan belia serta pekerja ekonomi gig.
Sementara itu, mengulas bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan diagihkan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos hingga 31 Disember ini, Yusrizal berkata bantuan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan segera.
“Bagi sesetengah orang, bantuan one-off ini mungkin nampak kecil, tetapi ia tetap membantu. Gunalah sebaiknya untuk membeli barangan keperluan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penyusunan semula tarif elektrik yang dijangka memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna domestik bermula bulan ini.
“Penurunan tarif ini hasil penyusunan semula formula pengiraan. Ia akan membantu kebanyakan pengguna, walaupun mereka yang mempunyai penggunaan tinggi mungkin masih terkesan akibat komponen kos tertentu yang tidak dapat dielakkan.
“Secara keseluruhan, kami anggap langkah ini wajar dalam usaha meringankan beban rakyat,” katanya.