PORT DICKSON:Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah perlu bagi memperkukuh ekonomi negara, namun tidak sesekali mengabaikan kegelisahan rakyat di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata perbincangan bersama pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan kementerian berkaitan sedang giat dilakukan menjelang pengumuman penting yang dijadual minggu depan.
“Walaupun langkah-langkah ekonomi diambil dan indikator makroekonomi seperti pertumbuhan baik, inflasi dan pengangguran rendah, namun di bawah masih ada kegelisahan.
“Kerajaan MADANI ambil sikap mendengar. Bila kita dengar keresahan rakyat, kita cari jalan untuk ringankan. Itulah makna sebenar santuni rakyat,” katanya ketika berucap dalam Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di Kampung Pachitan, di sini.
Program itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; barisan Menteri Kabinet serta Ahli Parlimen Kerajaan.
Dalam ucapannya, Anwar turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan kerajaan perpaduan sebagai tidak bersatu hanya kerana gabungan parti yang berbeza ideologi.
Sebaliknya, beliau menegaskan semangat kesatuan dalam kalangan pimpinan dan akar umbi Kerajaan MADANI amat kukuh dan luar biasa.
“Orang luar mungkin tafsir lain, tapi kita yang bekerja bersama dalam kerajaan tahu – walaupun datang daripada latar belakang parti berbeza, semangat untuk bangunkan negara tetap satu.
“Saya bersyukur, Alhamdulillah. Gabungan ini kuat kerana masing-masing faham peranan dan tanggungjawab,” katanya.