Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Perdana Menteri pun bayar cukai- Anwar

Perdana Menteri pun bayar cukai- Anwar

oleh Ammar Haziq

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada rakyat supaya tidak culas membayar cukai kepada kerajaan.

Berucap ketika Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali ke-42, Anwar berkata, beliau sendiri tidak terlepas daripada membayar cukai kepada kerajaan.

Ketika ucapannya itu, Anwar turut berkongsi pengalaman dikenakan cukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak RM500 untuk setong minyak zaitun yang diberikan seorang rakannya berbangsa Arab.

Menurutnya, minyak zaitun itu hasil perolehan daripada pokok yang ditanam di kawasan rumah rakannya itu.

“(Sejak menjawat jawatan Perdana Menteri) Kastam Klang kenakan cukai RM500 kepada saya. Saya bukan berniaga. Tapi saya tak nak merayu (dikecualikan cukai). Saya nak bagi contoh, Perdana Menteri pun terpaksa bayar cukai.

“Itu bezanya. Kalau orang lain yang jadi Perdana Menteri, beli barang-barang ratus juta tak mahu bayar cukai.

“(Tetapi) saya minyak zaitun untuk kegunaan sendiri dan keluarga dikenakan cukai. Saya bayar (cukai) kerana mahu berikan contoh yang baik kepada rakyat,” katanya.

Ketika meraikan majlis sambutan itu, Anwar turut diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Dalam ucapannya juga, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta yang menjadikan keseluruhan RM50 juta bagi menambah baik perumahan anggota JKDM bagi 2024.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah bagi memastikan perumahan untuk anggota JKDM tidak lagi daif dan uzur selain akan terus berusaha untuk membina perumahan baharu untuk mereka.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut memberi jaminan kepada anggota JKDM bonus pada tahun ini akan lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Saya beri jaminan bonus tahun ini akan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tapi ada beberapa masalah dan saya percaya Datuk Anis akan berbincang dengan Kementerian Kewangan.

“Ini kerana ada isu lain yang perlu ditangani untuk memberikan keselesaan dan keadilan kepada pegawai di semua peringkat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com