KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan kesediaan untuk memberi penjelasan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bagi mengelakkan beliau terus keliru atau tersasar dalam memberi komen berkaitan isu ekonomi negara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, Kerajaan MADANI bersikap terbuka terhadap perbincangan dengan mana-mana pemimpin, termasuk pembangkang, khususnya yang dilihat tidak memahami konsep asas pentadbiran seperti ‘bantuan’ dan ‘belanjawan’.
“Saya ingin bantu Datuk Seri Sanusi memahami bahawa ‘bantuan’ dan ‘Belanjawan’ adalah dua perkara berbeza dalam urus tadbir kerajaan. Belanjawan 2026, contohnya, hanya diguna pakai pada tahun 2026, bukan sekarang. Semua pengumuman semalam adalah inisiatif tambahan di bawah Belanjawan 2025, bukan sebahagian daripada Belanjawan 2026,” katanya pada sesi taklimat media PMO.
Beliau mengulas kenyataan Sanusi yang mempertikaikan pengumuman kerajaan termasuk bantuan tunai RM100 dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Tunku Nashrul menegaskan bantuan itu adalah sebahagian daripada langkah tambahan untuk meringankan beban rakyat, selaras dengan kemampuan fiskal kerajaan semasa.
“Sekiranya tiada gangguan daripada ‘belalang di tepi lautan’ seperti Sanusi dan sekutunya, Insya-Allah kerajaan akan terus menyalurkan manfaat kepada rakyat secara berperingkat dan terancang,” katanya sinis.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pendedahan terbaharu wartawan antarabangsa, Bradley Hope, yang menganggarkan kerugian akibat skandal 1MDB mencecah AS$18 bilion, sebagai contoh beban besar yang terpaksa diwarisi oleh Kerajaan MADANI.
Katanya, skandal seperti itu menjadi faktor utama yang menyukarkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang dijalankan oleh kerajaan hari ini.
Tunku Nashrul turut menyampaikan penghargaan Perdana Menteri kepada rakyat yang terus sabar dan menyokong dasar pemulihan walaupun sering dimomokkan dengan dakyah pihak lawan.
“Saya ingin mengulangi permohonan maaf yang disampaikan Perdana Menteri semalam berhubung kelewatan menunaikan beberapa janji. Tetapi semua keputusan dibuat berdasarkan kemampuan negara dan demi kepentingan jangka panjang,” katanya.