Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional RM127 juta dikumpul, Anwar syukur sambutan luar jangka Sejahtera MADANI

RM127 juta dikumpul, Anwar syukur sambutan luar jangka Sejahtera MADANI

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur apabila kutipan sumbangan di bawah inisiatif Sejahtera MADANI mencecah RM127 juta, mengatasi jangkaan awal sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan kerjasama sektor swasta yang begitu positif terhadap usaha kerajaan membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya terharu sedikit kerana saya lihat sambutan itu jauh lebih baik. Kita jangka RM50 juta tapi kita kutip RM120 juta,” katanya semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Sejahtera MADANI di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Anwar berkata, komitmen tinggi sektor korporat memberi petanda jelas bahawa hala tuju pentadbiran negara mendapat kepercayaan dalam mewujudkan sistem tadbir urus yang telus dan adil.

Katanya, Malaysia hanya mampu menjadi negara maju dan sejahtera jika kekuatan pentadbiran disokong peranan aktif sektor swasta di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Negara yang kuat bermula dengan kepimpinan yang menjaga tatakelola, bertanggungjawab dan bebas daripada ketirisan. Tetapi kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kekuatan sektor swasta yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam majlis tersebut, beberapa wakil penerima bantuan hadir menerima cek bantuan tunai yang disalurkan menerusi inisiatif berkenaan.

Antara penerima ialah Nizam Aradin, 49, dari Tanjung Karang yang bersyukur menerima bantuan untuk membina rumah baharu bagi menempatkan keluarganya.

“Kemudahan yang diberikan sangat membantu. Kami sebelum ini hanya menumpang, tiada rumah sendiri. Saya sangat terharu, sukar digambarkan dan amat bersyukur kepada kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penerima, K. Vasanthi, 57, pesara swasta dari Ampang, berkata bantuan yang diterima memberi sedikit ruang untuk meringankan beban hidupnya yang menjaga ahli keluarga yang sakit.

“Kita jimat sikit, boleh guna untuk bayar sewa rumah dan hutang bank,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Antara syarikat yang menyumbang kepada tabung inisiatif termasuk Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), YTL Corporation, MRCB, FGV Holdings dan Farm Fresh Berhad.

Sumbangan tersebut akan disalurkan ke Tabung Kesejahteraan Rakyat yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Berdasarkan data terkini sehingga 15 Julai lalu, seramai 306,403 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan dalam sistem eKasih, meliputi 1,017 kategori miskin tegar dan 305,386 kategori miskin.

Kerajaan mensasarkan pengurangan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah berkenaan tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menghapuskan kemiskinan di Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com