Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Pendakwah usah ikut sentimen politik

Pendakwah usah ikut sentimen politik

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pendakwah supaya tidak terlalu terikut-ikut dengan sentimen politik yang dimainkan oleh pihak tertentu terutama dalam isu agama.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku terutama apabila ucapannya kepada penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri beberapa minggu lalu yang mengupas mengenai Surah Al-Kahfi disalah tafsir oleh pendakwah.

“Saya sampaikan bahawa pada masa itu sistem dan kerajaan dan raja yang zalim itu penyembah berhala ditolak oleh orang beriman termasuk tujuh pemuda yang kemudian berlindung di gua.

“Saya kata ada juga cerita yang disampaikan oleh golongan nasrani dan pada masa itu tentunya mereka ini kalau mengikut beberapa kitab tafsir, penganut agama nasrani itu kita sebutkan sekarang Kristian tetapi yang tauhid, percaya pada tuhan.

“Tetapi apabila ditanya salah seorang ustaz di Terengganu, dia kupas tanpa mendengar. Terus dia kata pemimpin besar ini jahil, keliru dan menyesatkan diri dan mengatakan orang-orang ini orang Kristian. Baca dan dengar konteksnya,” katanya kepada pemberita di Masjid Kota Damansara.

Katanya, beliau terbuka dengan kritikan tetapi ia mesti berlandaskan fakta dan kebenaran.

“Seorang pendakwah, dia lebih ikut sentimen politik, ini masalahnya. Kalau ikut sentimen betul dari segi semangat agama, semak dulu kenyataan itu benar atau tidak.

“Keduanya, fakta itu benar atau tidak. Kalau tidak, boleh tegur saya, saya boleh betulkan. Ini sebagai peringatan supaya jangan ada sebaik saja kita sebut nasrani, mana ada dan tak betul,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com