Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional Sejahtera MADANI buka lembaran baharu tangani kemiskinan

Sejahtera MADANI buka lembaran baharu tangani kemiskinan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Pelancaran inisiatif Sejahtera MADANI membuka lembaran baharu dalam usaha menangani isu kemiskinan dan miskin tegar, menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor korporat serta swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu menghimpunkan kekuatan pelbagai pihak dalam menyokong usaha kerajaan melalui intervensi merangkumi aspek pendidikan, peningkatan pendapatan, perumahan dan kebajikan.

“Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar. Sejak 2023, hampir 150,000 isi rumah berjaya keluar daripada kelompok miskin tegar dan harapan saya, menerusi Sejahtera MADANI, mereka ini dapat diangkat sepenuhnya daripada kepompong kemiskinan,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.

Beliau berkata, sambutan daripada sektor korporat amat memberangsangkan apabila sasaran awal RM50 juta berjaya dilangkaui, dengan komitmen mencecah RM120 juta sebelum pelancaran rasmi berlangsung.

“Kerajaan akan terus menyelaras usaha ini. Sama ada sumbangan besar mahupun kecil, yang penting ialah keikhlasan dan kesanggupan untuk turun padang menyumbang masa, tenaga dan kepakaran demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Anwar turut menyeru seluruh rakyat agar berganding bahu membina masa depan negara yang lebih adil dan inklusif.

“Malaysia ialah negara hebat dengan rakyat yang berhati besar. Dengan semangat Sejahtera MADANI, marilah kita berganding bahu membina masa depan yang lebih adil, inklusif dan sejahtera tanpa meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com