JITRA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menurunkan harga minyak RON95 sebanyak enam sen bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan ia melibatkan implikasi kewangan besar kepada negara.
Menurutnya, pengumuman penurunan kepada RM1.99 dibuat selepas proses pertimbangan teliti yang mengambil masa beberapa hari, demi memastikan keutamaan rakyat Malaysia terus terpelihara.
“Mereka anggap enam sen itu kecil, tapi mereka tidak tahu beban yang ditanggung kerajaan. Jangan remehkan perkara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman pada Jumaat.
Jelas Anwar, walaupun negara jiran seperti Thailand dan Singapura telah menurunkan harga bahan api lebih awal, Malaysia tetap mencatat harga yang lebih rendah sebagai usaha membela rakyat.
Dalam ucapannya, beliau turut mempertahankan dasar kerajaan yang tidak memberikan subsidi minyak kepada warga asing atas alasan mereka tidak membayar cukai kepada negara.
“Saya pelik bila ada yang kata kita membebankan warga asing. Di mana logiknya orang luar diberi layanan sama macam warganegara sendiri?” katanya.
Tambah beliau, pemberian RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada individu berumur 18 tahun ke atas juga menerima pelbagai reaksi, meskipun ia merupakan tambahan kepada peruntukan yang kini mencecah RM15 bilion.
“Suami dapat, isteri dapat, anak umur 18 pun dapat. Ini adalah bantuan sekali beri, untuk meringankan beban hidup rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh isu penangguhan kenaikan kadar tol yang dijadualkan tahun ini, di mana kerajaan terpaksa menanggung implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.
“Saya tak buat perjanjian tol itu, tapi saya tangguh supaya rakyat tidak terbeban. Kalau tak ucap terima kasih pun, janganlah kutuk saya,” ujarnya lagi.
Majlis yang berlangsung sempena Hari Antidadah tersebut berjaya menghimpunkan lebih 6,000 peserta, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu dadah sebagai ancaman kesihatan dan keselamatan negara.