Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional Jangan pandang ringan konflik Thailand-Kemboja – PM

Jangan pandang ringan konflik Thailand-Kemboja – PM

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa konflik bersenjata yang berlaku di rantau Asia Tenggara, khususnya di sempadan Thailand dan Kemboja, tidak boleh dipandang enteng disebabkan kedudukan strategik ASEAN.

Menurutnya, meskipun Malaysia kekal stabil dan aman, negara ini perlu berwaspada serta mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di negara jiran.

“Saya percaya kedua-dua pimpinan Thailand dan Kemboja nampak sedia berdamai, namun kita tetap kena waspada kerana rantau ASEAN ini terlalu strategik. Maka wujudlah usaha-usaha menimbulkan persengketaan,” katanya selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama pimpinan PKR Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sebuah hotel, semalam.

Jelas Anwar, beliau telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyatakan kebimbangan Malaysia dan menggesa agar ketegangan sempadan dihentikan segera.

“Thailand dan Kemboja setuju untuk hentikan serangan, tapi masih ada isu teknikal di sempadan. Saya juga minta Menteri Luar teruskan rundingan diplomatik,” katanya.

Malaysia mengambil pendekatan diplomasi secara prinsip dan menyeru agar isu sempadan diselesaikan melalui dialog, bukan kekerasan.

Dalam insiden terbaru, Thailand mendakwa sembilan orang awam terkorban dan 14 lagi cedera dalam serangan artileri yang dikatakan dilakukan oleh tentera Kemboja. Namun, Kemboja menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan tindakan balas dilakukan selepas tentera mereka diserang terlebih dahulu.

Ketegangan memuncak selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, menjadikan situasi sempadan semakin genting.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com