Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional MCMC buka rundingan awam isu data komunikasi untuk siasatan

MCMC buka rundingan awam isu data komunikasi untuk siasatan

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka sesi rundingan awam berhubung pengekalan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi bagi tujuan siasatan.

Langkah ini diambil susulan peningkatan kes penipuan dalam talian, jenayah siber dan penipuan kewangan yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Menurut MCMC, usaha itu bertujuan memastikan keselamatan awam serta menyokong tindakan penguatkuasaan undang-undang yang kini berdepan kesukaran mendapatkan data komunikasi secara tepat dan segera.

“Antara cabaran utama yang dihadapi pihak berkuasa penguat kuasa ialah mendapatkan akses kepada data komunikasi yang boleh membantu mereka bertindak pantas dan berkesan.

“Rundingan awam ini bertujuan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk orang awam mengenai bagaimana data komunikasi sepatutnya disimpan, dilindungi dan didedahkan, dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan siasatan dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

MCMC menjemput orang ramai, pihak industri dan semua pihak berkaitan untuk mengemukakan pandangan mereka menerusi Kertas Rundingan Awam yang boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi MCMC.

Pandangan dan cadangan boleh dihantar dalam bentuk bertulis sama ada salinan fizikal atau digital kepada alamat berikut, atau menerusi borang Microsoft Forms, selewat-lewatnya jam 5 petang pada 8 Ogos 2025 (Jumaat).

MCMC menjelaskan bahawa semua pandangan yang diterima akan dinilai bagi membantu merangka dasar dan garis panduan yang lebih menyeluruh, telus dan berkesan dalam usaha menangani jenayah siber serta melindungi kepentingan pengguna.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com