Thursday, 31, July, 2025
Utama Nasional Malaysia pantau gencatan senjata Thailand-Kemboja selaku Pengerusi Asean

Malaysia pantau gencatan senjata Thailand-Kemboja selaku Pengerusi Asean

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memikul peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN dalam memantau pelaksanaan serta pematuhan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dijadual bermula tengah malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tanggungjawab itu sebagai satu amanah besar hasil rundingan bersejarah yang diadakan hari ini dengan Malaysia bertindak selaku perantara dan tuan rumah.

“Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam ini.

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menerima amanah besar bersama rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, malam ini.

Difahamkan, rundingan damai yang berlangsung hari ini menyaksikan kedua-dua negara bersetuju menghentikan segala bentuk ketegangan ketenteraan dan memberi ruang kepada penyelesaian secara diplomatik, selaras dengan semangat Piagam ASEAN dan prinsip penyelesaian aman.

Perkembangan itu sekali gus menandakan kejayaan awal diplomasi Malaysia di peringkat serantau ketika memegang kerusi Pengerusi ASEAN 2025, dan mengukuhkan peranan negara dalam memastikan kestabilan dan keamanan Asia Tenggara terus terpelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com