Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Yakin kerajaan Perpaduan kekal sehingga empat tahun

Yakin kerajaan Perpaduan kekal sehingga empat tahun

oleh Ammar Haziq

SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga empat tahun lagi kerana mempunyai majoriti besar.

Ketika menjawab persoalan komuniti pelabur antarabangsa, beliau juga menjelaskan bahawa gelombang pembangkang yang tidak berjaya merentasi negeri-negeri kawasan selatan Semenanjung membayangkan Kerajaan Perpaduan mempunyai kekuatan untuk melawan naratif pembangkang.

“Banyak soalan ditanyakan mengenai pengaruh parti pembangkang di sesetengah negeri. Tetapi saya berpuas hati dengan kedudukan kerajaan dengan hampir 2/3 (majoriti di Dewan Rakyat), ia merupakan satu majoriti besar dan Insya-Allah ia akan kekal sehingga empat tahun akan datang.

“Kedua, kita faham bahawa gelombang parti pembangkang tidak berupaya merentasi negeri-negeri di selatan Semenanjung.

“Pada saya, ini menggambarkan bahawa kita mempunyai kapasiti untuk melawan naratif pembangkang menerusi program ekonomi dan inisiatif reformasi,” jelas Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada pertemuan tertutup bersama delegasi media Malaysia di Singapura.

Terdahulu, beliau turut serta dalam Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Milken Institute di Singapura di mana terlibat menerusi sesi “A Conversation with the Prime Minister of Malaysia” yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin.

Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengadakan pertemuan tidak rasmi bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isterinya dalam satu majlis minum petang.

Anwar tiba untuk lawatan kerja sehari ke Singapura dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi tadi.

Ketibaannya disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com