ALOR SETAR – Polis Kedah memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Honggaq Kedah yang dikhabarkan akan diadakan pada 24 Ogos ini.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini, maklumat mengenai perhimpunan tersebut hanya diketahui menerusi hebahan di media sosial dan belum ada sebarang notis rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita tak boleh halang sesiapa untuk berhimpun, tetapi saya nasihatkan agar semua pihak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Isnin.
Perhimpunan berkenaan dipercayai dianjurkan oleh pihak tertentu bagi menyatakan ketidakpuasan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta mendesak beliau berundur daripada jawatan.
Hebahan mengenai program itu dikesan melalui platform TikTok dan dijangka berlangsung di hadapan Wisma Darul Aman pada jam 2 petang, dengan kehadiran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk menyerahkan memorandum.
Adzli turut mengingatkan bahawa perhimpunan awam perlu diadakan secara aman dan tidak melibatkan isu sensitif seperti 3R—agama, kaum dan institusi diraja.
“Peserta juga tidak dibenarkan membawa senjata, membawa kanak-kanak atau memberi kenyataan berunsur provokasi. Semua ini penting demi menjaga keselamatan masyarakat,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat yang disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.
Majlis itu menyaksikan penyerahan jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah kepada Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin yang sebelum ini berkhidmat di Perlis.