Thursday, 31, July, 2025
Utama Nasional Thailand, Kemboja setuju gencata senjata serta-merta – PM

Thailand, Kemboja setuju gencata senjata serta-merta – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula tengah malam ini dalam usaha menghentikan ketegangan yang memuncak di kawasan sempadan kedua-dua negara sejak akhir Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kejayaan diplomatik itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Mesyuarat bersejarah itu dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan Malaysia bertindak selaku hos, perantara dan Pengerusi ASEAN, serta saksi kepada persetujuan damai berkenaan.

Menurut Anwar, keputusan itu dicapai hasil perbincangan konstruktif secara diplomatik, sekali gus menjadi langkah awal yang signifikan ke arah meredakan konflik, memulihkan keamanan dan keselamatan serantau.

“Sebagai permulaan, satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan antara komander wilayah tentera dari kedua-dua negara pada jam 7 pagi, 29 Julai ini.

“Mesyuarat ini akan disusuli dengan pertemuan bersama Atase Pertahanan, yang akan dikoordinasi oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui bersama,” katanya dalam sidang media bersama kedua-dua pemimpin terbabit.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Duta Besar Amerika Syarikat, Edgard D. Kagan, yang berperanan sebagai fasilitator bersama.

Anwar turut memaklumkan bahawa satu Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada 4 Ogos depan, dengan Kemboja sebagai tuan rumah bagi membincangkan pelaksanaan teknikal gencatan senjata tersebut.

Sebagai Pengerusi ASEAN, katanya, Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemerhati serantau bagi memastikan pematuhan dan keberkesanan pelaksanaan gencatan senjata yang dimeterai itu.

“Kita akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk menyertai usaha pemantauan ini sebagai simbol komitmen kolektif serantau terhadap keamanan di lapangan.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyambung semula komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan masing-masing,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara – Malaysia, Thailand dan Kemboja – akan menggubal mekanisme pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan bagi memastikan gencatan senjata ini kekal berkesan dan bertanggungjawab.

Insiden ketegangan tercetus sejak 28 Mei lalu susulan kejadian berdarah di kawasan Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja, sekali gus mencetuskan kebimbangan regional terhadap kemungkinan konflik berskala lebih besar.

“Mesyuarat ini bukan sahaja membuka jalan ke arah damai, malah mengukuhkan komitmen bersama terhadap undang-undang antarabangsa, semangat hidup bersama secara aman, serta kerjasama pelbagai hala dalam menyelesaikan konflik secara adil dan berkekalan,” kata Anwar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com