Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Anwar anggap Jokowi sebagai sahabat sejati

Anwar anggap Jokowi sebagai sahabat sejati

oleh Ammar Haziq
Anwar dan Jokowi melihat suasana Putrajaya semasa dalam satu perjumpaan pada Khamis.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi sebagai sahabat sejati.

Beliau berkata, rundingan dua hala kedua-dua negara itu berlangsung dalam suasana sebagai sebuah keluarga dan sahabat sejati.

“Saya tidak mahu menganggap ini sebagai lawatan kerja biasa ataupun hubungan dua hala biasa kerana saya anggap Jokowi dan rakan Indonesia yang saya ungkap tadi sebagai sahabat sejati dan perundingan kita itu perundingan keluarga, sahabat.

“Dalam sejarah hubungan dua hala dengan mana-mana negara di dunia, peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa yang singkat dengan Indonesia ini luar biasa,” katanya pada sidang media bersama Jokowi di Kompleks Seri Perdana di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji Jokowi yang memilih untuk menyantuni rakyat di Chow Kit, Kampung Baru di ibu negara sebaik sahaja selepas pertemuan di Putrajaya.

“Acara presiden hari ini luar biasa, santai. Saya tanya mahu ke mana, Jokowi beritahu ingin ke Chow Kit, Kampung Baru.

“Itulah sosok Presiden Indonesia, selain ke istana petang ini, pilihannya masih ke medan rakyat di Kuala Lumpur. Bapak tetap keluarga dan sahabat, kami anggap jasa seperti mana (ketika) terperosok di penjara dan keluar, Jokowi masih dianggap sahabat sejati,” ujarnya.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Jokowi yang turut menyifatkan Anwar sebagai sahabat baik berkata, lawatannya itu adalah kunjungan balas Anwar ke republik itu pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com