Thursday, 31, July, 2025
Utama Nasional AIC bangga pengiktirafan dunia terhadap PM dalam pendamaian Thailand-Kemboja

AIC bangga pengiktirafan dunia terhadap PM dalam pendamaian Thailand-Kemboja

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim Club (AIC) menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan peranan penting beliau dalam usaha mendamaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.

Sebagai pemimpin negara dan Pengerusi ASEAN, Anwar bukan sahaja berjaya membawa dua negara jiran itu ke meja rundingan, malah menunjukkan kepimpinan berprinsip dengan menjunjung tinggi semangat diplomasi, perundingan serta nilai-nilai kemanusiaan.

“Penghargaan terbuka daripada negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda, Kesatuan Eropah dan Pakistan serta rakan serantau seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Brunei membuktikan bahawa dunia mengiktiraf peranan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang berwibawa,” menurut kenyataan AIC hari ini.

AIC menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai manifestasi kepada dasar luar negara yang matang, berpandangan jauh dan berani menyuarakan kebenaran dalam isu serantau dan global.

Sehubungan itu, AIC menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong kepimpinan Anwar demi memastikan suara Malaysia kekal dihormati di peringkat antarabangsa.

“Kepimpinan yang membawa suara damai, memperjuangkan keadilan dan menjunjung nilai kemanusiaan, inilah wajah Malaysia MADANI yang menjadi rasa bangga seluruh rakyat,” menurut kenyataan tersebut lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com