Monday, 14, October, 2024
Utama Nasional Insentif kesihatan untuk warga Felda dianggap terbaik

Insentif kesihatan untuk warga Felda dianggap terbaik

oleh Ammar Haziq

SERDANG: Insentif bantuan kesihatan bagi peneroka yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2023, dianggap sebagai yang terbaik bagi warga Felda.

Ini kerana rata-rata peneroka merupakan generasi pertama yang semakin berumur dan memerlukan bantuan penjagaan kesihatan.

Seorang peneroka dari Felda Mengkuang, Triang, Pahang, Mohd Saiful Matsaman berkata insentif itu sedikit sebanyak membantu warga Felda untuk menjaga kesihatan mereka.

“Memang ramai dah tua, jadi saya rasa bantuan kesihatan yang PM (Anwar) umum adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di sini pada semalam.

Antara pengumuman Anwar untuk warga Felda bagi penjagaan kesihatan ialah Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang melibatkan peruntukan RM21.21 juta dan pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta.

Insentif khas SKR sebanyak RM300 itu akan memanfaatkan 70,715 peneroka yang berumur 65 tahun ke atas, manakala 12 pusat hemodialisis akan dibina di semua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya, yang akan memanfaatkan 2,000 pesakit.

Mengulas mengenai SKR, Rafean Naim dari Felda Bukit Puchong, Triang, Pahang berkata bukan nilai RM300 yang dipandang, sebaliknya usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan dan kesihatan orang tua sepertinya amatlah dihargai.

“Macam saya ini dah tua, umur 72 tahun, pendapatan pun tak seberapa kena jaga cucu lagi, jadi bila perdana menteri umumkan SKR ini, saya gembira sebab tak perlu fikir kos jaga kesihatan,” katanya.

Warga Felda Maokil, Segamat, Johor Siti Rosnizalina Zulkifli, 35, berkata keputusan kerajaan menanggung perbelanjaan kos operasi bagi lampu jalan disambut baik, memandangkan beliau dan rakan-rakan belianya dalam usaha merencanakan aktiviti belia di kawasannya, serta memerlukan sumber pencahayaan.

“Kita tidak mahu sia-siakan semangat belia yang mahu turut serta dalam aktiviti yang sedang diusahakan. Bukan maksud tiada lampu langsung di kawasan Felda, namun hanya ada di jalan utama sahaja,” katanya.

Anwar turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM7.7 juta setahun bagi menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com