Saturday, 2, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13: PMKS dan TVET jadi pemacu sosioekonomi negara, 1.2 Juta pekerjaan baru disasarkan

RMK13: PMKS dan TVET jadi pemacu sosioekonomi negara, 1.2 Juta pekerjaan baru disasarkan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meletakkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai teras utama dalam menjana pembangunan sosioekonomi negara secara inklusif dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis, menegaskan bahawa kedua-dua sektor ini berpotensi tinggi untuk memperkukuh ekosistem ekonomi domestik, memperluas peluang pekerjaan dan melonjakkan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Kerajaan menyasarkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 50 peratus menjelang tahun 2030, menerusi ekosistem yang lebih progresif dan berdaya saing,” katanya.

Antara strategi utama termasuk penskalaan PMKS melalui penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, pendigitalan dan penambahbaikan operasi.

Untuk merealisasikan sasaran tersebut, beberapa inisiatif disediakan seperti dana pelaburan strategik, skim peningkatan kapasiti dan keupayaan PMKS serta sokongan modal kerja dan pembiayaan projek.

Langkah ini diharap mampu memperkasa usahawan tempatan dan memperluas akses mereka ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam masa sama, RMK13 turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, dengan penyelarasan strategik antara pelbagai kementerian dan agensi, termasuk KPT, KPM, KESUMA, KKDW serta MARA.

Menurut Anwar, pendekatan ini akan memastikan penawaran program TVET distrategikan semula agar sejajar dengan keperluan industri, khususnya dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.

“Fokus TVET akan diberikan kepada zon-zon strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Koridor Hijau Iskandar Puteri (KIGIP) dan **Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP),” ujarnya.

Kerajaan menyasarkan penciptaan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital sepanjang tempoh RMK13.

Bagi memperkasakan penglibatan belia dan pelajar tahfiz, dua inisiatif utama akan dilaksanakan iaitu Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan dana Latihan TVET, termasuk peluasan program kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI iaitu gabungan nilai spiritual dan kepakaran teknikal.

Menerusi pelaburan bersepadu dalam PMKS dan TVET, kerajaan menyasarkan Malaysia mampu menempatkan diri dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Global Innovation Index, sebagai penanda aras daya saing dan kebolehlaksanaan inovasi negara.

“RMK13 bukan sahaja membina asas ekonomi, tetapi menjulang martabat rakyat melalui pekerjaan bernilai tinggi dan peluang pendidikan teknikal yang relevan,” kata Perdana Menteri menutup perbahasan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com