KUCHING – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir pencapaian membanggakan apabila produk inovatifnya, Kit H2GROW: Integrasi STEM dan TVET untuk Murid Inklusif, berjaya meraih Anugerah Platinum dalam pertandingan berprestij, Innovation for Disability Inclusive Education Competition 2025 (IDIEC) yang berlangsung di UCSI Hotel, di sini.
Kit pendidikan yang memfokuskan kepada murid berkeperluan khas itu dibangunkan oleh pasukan diketuai pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Dr. Nazmin Abdullah, melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Institut Pendidikan Guru Malaysia, NGO PeSTeC dan sekolah terpilih.
Dalam kategori A yang melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti, pasukan ini berjaya menewaskan 25 pencabar lain untuk mara ke peringkat akhir dan membawa pulang trofi berprestij, sijil pengiktirafan serta geran pembangunan prototaip bernilai RM10,000 yang ditaja oleh Centre for Inclusive Research on Community and Disabilities (CIRCLE), UPSI.
“Kit H2GROW direka khusus untuk melatih murid berkeperluan khas dalam kemahiran asas penanaman hidroponik, lengkap dengan elemen teknologi moden seperti sistem IoT dan Augmented Reality,” ujar Dr. Nazmin.
Kit tersebut dilengkapi dengan modul pembelajaran pelbagai aras, panduan guru yang menyeluruh, video tutorial, kuiz luar talian, serta permainan atas talian yang interaktif.
Tidak ketinggalan, terdapat cerita digital Kembara H2GROW, buzzer khas untuk murid ketidakupayaan penglihatan dan indikator LED bagi murid ketidakupayaan pendengaran.
Dr. Nazmin turut meluahkan harapan agar kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada warga UUM untuk terus meneroka solusi pendidikan yang inklusif dan lestari.
Untuk rekod, Kit H2GROW mula diperkenalkan kepada umum melalui pertandingan i-MInD Innovation Competition 2024 anjuran IPGM dan berjaya meraih Gold Medal Award.