Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Lempar daun ganja ke laut sebelum patah balik ke sempadan Thailand

Lempar daun ganja ke laut sebelum patah balik ke sempadan Thailand

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis telah berjaya merampas daun ganja segar yang cuba diseludup masuk dari negara jiran pada kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun sekitar pukul 10.00 malam, semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, rampasan kali ini dibuat ketika bot Maritim Malaysia melakukan rondaan dan telah mengesan sebuah bot fiber sedang bergerak laju dalam keadaan gelap.

Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak membuang satu tong berwarna kuning ke laut dan menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas tong berwarna kuning yang dibuang telah menemukan daun ganja segar dengan anggaran berat dua kilogram bernilai lebih RM6,000 dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan.

Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Susulan itu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah merangka pelan tindakan bagi menangani kegiatan itu daripada berleluasa. Aset-aset Maritim Malaysia telah diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa selain meningkatkan intipan, rondaan dan kawalan di lokasi panas (hot spot) serta melaksanakan operasi-operasi khas bersama Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan turut diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum. Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com