KUALA LUMPUR: Usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tatakelola dan tadbir urus negara kini digerakkan secara lebih menyeluruh menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan sasaran menjadikan Malaysia antara 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia.
Menerusi dokumen rasmi RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, kerajaan turut menyasarkan kedudukan dalam kelompok 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook iaitu penanda aras penting dalam daya saing ekonomi global.
Antara langkah utama yang digariskan termasuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam, mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian, serta memperkemas pengurusan fiskal negara.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap institusi kerajaan, tetapi juga menyokong hala tuju pembangunan mampan negara dalam jangka panjang,” menurut dokumen berkenaan.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada strategi peningkatan hasil melalui pendigitalan sistem kutipan cukai dan peluasan asas percukaian di bawah Medium-Term Revenue Strategy (MTRS), termasuk pelaksanaan Global Minimum Tax (GMT) dan semakan berkala terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pendekatan ini dijangka memberi ruang kepada kerajaan menambah kemudahan dan memperluas bantuan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, pengurusan perbelanjaan negara turut diberi perhatian dengan penekanan kepada subsidi bersasar, kawalan kos yang lebih teliti dan pengurusan hutang yang lebih berhemat.
“Penambahbaikan mekanisme kawalan kos akan mengambil kira faktor penting seperti kos kitaran hayat dalam pengiraan keseluruhan,” jelas dokumen itu lagi.
RMK13 dilihat sebagai lanjutan kepada komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga unggul dari segi integriti dan urus tadbir.