Sunday, 3, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13 tekad tingkat jaminan makanan, pertanian dijadikan pemacu ekonomi haharu

RMK13 tekad tingkat jaminan makanan, pertanian dijadikan pemacu ekonomi haharu

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh komitmennya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memberi penekanan terhadap akses kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan dan kesihatan mampu milik menerusi pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghasilan makanan dalam negara akan dipertingkatkan secara agresif bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang dilihat berisiko tinggi sekiranya berlaku gangguan bekalan global.

“Tumpuan khusus akan diberikan kepada pembangunan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menjamin bekalan makanan negara,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebagai langkah konkrit, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan.

Program itu turut diperluas ke kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak bagi memastikan peningkatan hasil secara konsisten dan efisien.

Dalam masa sama, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) akan dipertingkat, termasuk adaptasi teknologi pertanian pintar serta penggunaan ladang satelit. Pendekatan ini akan dijayakan menerusi kolaborasi antara petani, agropreneur muda, institusi penyelidikan dan pihak industri.

Bagi menjamin keselamatan makanan negara, Anwar berkata kebergantungan terhadap sumber import akan dikurangkan melalui kepelbagaian rakan dagang serta kawalan ketat terhadap kemasukan makanan ke dalam negara.

“Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan, kualiti dan kelestarian makanan yang diterima rakyat,” katanya.

Kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan infrastruktur bekalan makanan menerusi penambahbaikan pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran hasil pertanian. Sektor peruncitan makanan berskala kecil dan sederhana juga akan diperkukuh agar rantaian bekalan lebih stabil dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Anwar menyeru agar persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian diubah daripada sekadar aktiviti sara diri kepada satu sektor ekonomi yang berdaya maju dan menjanjikan pulangan lumayan.

“Minda rakyat harus digerakkan untuk melihat pertanian sebagai sumber kekayaan baharu. Dengan segala usaha ini, sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan dijangka mencecah RM58 bilion menjelang 2030,” jelas beliau.

RMK13 jelas menunjukkan iltizam kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dalam era pasca-pandemik dan perubahan iklim, dengan tumpuan terhadap kelestarian dan keterjaminan bekalan makanan jangka panjang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com