KUALA LUMPUR: Pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukanlah satu bentuk pembaziran dana awam, sebaliknya keputusan perniagaan strategik yang dirancang lebih awal dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan, rancangan pembelian itu telah diumumkan sejak Mac 2025, jauh sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pelaksanaan tarif baharu ke atas barangan import.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila AS kenakan tarif, itu sebahagian daripada usaha mengurangkan defisit dagangan mereka dengan kita. Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding kita beli dari mereka,” katanya menerusi catatan di platform X, semalam.
Menurut Tengku Zafrul, langkah menyenaraikan pembelian besar seperti pesawat Boeing ini adalah antara strategi Malaysia untuk membuktikan bahawa negara juga merupakan pelanggan penting kepada produk Amerika Syarikat.
“Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif. Tapi dengan menyenaraikan pembelian ini dalam rundingan, kita tunjuk bahawa Malaysia juga pembeli besar produk AS,” katanya.
Hasil pendekatan ini, tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat berjaya dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
“Strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara,” katanya lagi.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tempahan 30 pesawat Boeing 737 oleh MAG yang dijadualkan diterima secara berperingkat sehingga tahun 2030.