Wednesday, 6, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13 dijangka kekalkan lebihan dagangan, lonjak ekonomi bernilai tinggi

RMK13 dijangka kekalkan lebihan dagangan, lonjak ekonomi bernilai tinggi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin lebihan dagangan negara dapat dikekalkan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri bernilai tinggi serta peningkatan kompleksiti ekonomi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, meskipun import dijangka kekal tinggi selari dengan keperluan pembangunan ekonomi, Malaysia telah lama mencatatkan lebihan akaun semasa dan keseimbangan perdagangan yang positif.

“Imbangan sentiasa memihak kepada kita. Namun pentingnya, bila kita mengolah industri-industri baharu dan melabur dalam sektor bernilai tinggi, kita dapat meningkatkan nilai tambah dan mengekalkan lebihan dagangan yang ada,” katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program Ruang Bicara bertajuk RMK13: Melakar Semula Pembangunan terbitan Bernama TV yang disiarkan pada Khamis.

Amir Hamzah menegaskan, RMK13 dirangka bagi melonjakkan daya saing negara melalui peralihan struktur ekonomi ke arah sektor lebih kompleks dan berimpak tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan teknologi hijau.

“Kalau kita tidak berganjak, orang lain akan melangkaui kita dan itu akan menjadi isu untuk kita. Sebab itu kita perlu tingkatkan kompleksiti ekonomi supaya dapat menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, tingkatkan penggajian dan kekalkan daya saing,” jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan dasar perdagangan yang lebih praktikal dan berani agar selari dengan keperluan semasa serta cabaran global masa kini.

“Kita kena praktikal. Apa yang mungkin penting dulu mungkin selari dengan persekitaran ada, tetapi sekarang perlu berubah. Sebagai contoh, jika dulu kita banyak bergantung kepada tenaga buruh asing kerana persaingan berasaskan input buruh yang tinggi, kini kita boleh beralih dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan penggunaan teknologi dan digitalisasi serta mengoptimumkan potensi tenaga kerja tempatan.

“Menerusi sistem pendidikan dan latihan lebih baik, kebergantungan kepada buruh asing juga akan berkurangan,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, unjuran ekonomi Malaysia kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global, didorong oleh pelaburan institusi domestik serta struktur ekonomi negara yang berdaya tahan.

“IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pun sudah naikkan unjuran (pertumbuhan) keluaran dalam negara kasar Malaysia kepada 4.5 peratus. Ini menunjukkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara,” katanya.

Jelas beliau, pendekatan holistik RMK13 turut disokong oleh pemantauan rapi serta mekanisme intervensi segera bagi memastikan pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama menyokong transformasi yang digariskan dalam RMK13 demi kemajuan negara secara menyeluruh.

Dalam RMK13, imbangan perdagangan dijangka kekal positif pada RM116.3 bilion menjelang 2030, dengan lebihan akaun semasa diunjur sebanyak 2.2 peratus kepada pendapatan negara kasar.

Pertumbuhan eksport kasar pula dijangka berkembang pada kadar 5.8 peratus setahun bagi tempoh lima tahun bermula 2026.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com