Sunday, 10, August, 2025
Utama Sukan Imigresen FC mohon beraksi di Stadium Darul Aman

Imigresen FC mohon beraksi di Stadium Darul Aman

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pasukan baharu Liga Super, Imigresen FC (IFC) akan mengemukakan permohonan untuk menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang utama bagi saingan musim 2025/2026.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun pasukan itu kini menggunakan Padang Lembaga Kemajuan pertanian Muda (MADA) di sini sebagai pusat latihan dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai gelanggang sementara, pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan kelulusan untuk beraksi di stadium ikonik Kedah itu.

“Kami sudah hantar permohonan dan sedang tunggu maklum balas. Stadium Darul Aman adalah pilihan utama kami kerana lokasinya strategik dan dekat dengan peminat bola sepak utara,” katanya selepas peluncuran pasukan IFC di sebuah hotel di sini pada malam Rabu.

Menurutny lagi, penggunaan Stadium Darul Aman tidak akan menimbulkan konflik jadual kerana perlawanan Liga Super berlangsung pada waktu malam, manakala Liga A1 Semi-Pro yang turut menggunakan stadium itu diadakan pada waktu petang.

“Jadual tidak bertembung. Malah, ini boleh bantu tingkatkan hasil stadium melalui sewaan dan kehadiran penonton,” jelasnya.

Selain Stadium Darul Aman, IFC turut mempertimbangkan Stadium Dato’ Syed Ahmad di Arau sebagai pilihan kedua selepas kerja naik taraf dijangka siap hujung tahun ini.

IFC yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, tampil sebagai pasukan baharu dalam Liga Super musim ini dan berpangkalan di Kedah bagi mengisi kekosongan pasukan elit di wilayah utara.

“Perlis dan Kedah pernah jadi kuasa bola sepak negara, tapi kini tiada wakil dalam Liga Super. Kehadiran IFC beri peluang kepada peminat utara untuk sokong pasukan bertaraf tinggi,” kata Saifuddin Nasution.

Pasukan itu dibarisi gabungan pemain tempatan dari pelbagai negeri serta pemain import dari Myanmar, Iran, Brazil, Venezuela dan Australia.

Sementara itu, Ketua Jurulatih IFC, Yusri Che Lah berkata, latihan intensif telah bermula sejak awal Julai sebagai persiapan menghadapi musim sulung mereka.

“Kami bukan pasukan negeri, jadi fan base agak terhad. Kami baru masuk minggu ketiga latihan. Ini bukan alasan, tetapi kami perlukan masa untuk membina keserasian, terutama dengan kehadiran pemain import yang baru tiba beberapa hari lalu,” katanya.

IFC dijadualkan memulakan kempen Liga Super dengan perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC hujung minggu ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com