KOTA KINABALU – Proses bedah siasat terhadap jasad Allahyarham Zara Qairina Mahathir berjalan lancar dan telus tanpa sebarang campur tangan luar, kata peguam keluarga remaja berusia 13 tahun itu.
Peguam Shahlan Jufri yang hadir menyaksikan keseluruhan prosedur di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) berkata, beliau berpuas hati dengan tahap integriti dan profesionalisme pasukan forensik yang menjalankan tugas selama lapan jam tanpa gangguan.
“Saya berada di bilik bedah siasat dari awal hingga akhir, tanpa makan dan minum. Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja.
“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HQEI, malam Ahad.
Mengulas mengenai keadaan jasad Allahyarham, Shahlan mengesahkan terdapat kecederaan namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan dan maklumat tersebut adalah sulit.
“Memang ada kecederaan, yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil, serta berharap agar segala spekulasi dihentikan demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian ramai selepas beberapa gambar dan dakwaan berkaitan kecederaan tersebar di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca kematian remaja berkenaan.