KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Sabah mesti dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa melindungi mana-mana pihak.
Anwar berkata kes itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan wujud pelbagai dakwaan termasuk mangsa terjatuh, ditolak dan dibuli.
Beliau turut mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memastikan siasatan dijalankan seadilnya.
“Saya tanya, apakah ada kesilapan (siasatan Zara Qairina)? Kalau ada, ambil tindakan. Ini satu kematian, tidak kiralah anak orang miskin atau anak kaya, di gunung, di darat atau di laut, kita ambil tahu kerana siasatan mesti dijalankan secara telus. Saya sedih kerana ini mungkin anak atau cucu saya,” katanya.
“Oleh kerana terdapat syak wasangka, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kubur digali semula untuk bedah siasat kedua. Ini kerajaan MADANI, kita tidak akan melindungi pembunuh,” katanya.
Beliau berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, turut diarahkan ke Sabah bagi memantau siasatan agar tidak timbul persepsi ada pihak dilindungi.
Sebelum ini, AGC dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat kedua dijalankan demi memastikan semua aspek siasatan diambil kira.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.