Monday, 6, May, 2024
Utama Nasional Bayarlah pampasan segera, Kedah sudah berkorban : Sanusi

Bayarlah pampasan segera, Kedah sudah berkorban : Sanusi

oleh Ammar Haziq
Muhammad Sanusi (tengah) selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, dekat sini.

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan perlu membayar segera sejumlah pampasan kepada Kedah selepas negeri tersebut berkorban mengekalkan tanah luas bagi keterjaminan makanan negara dan sumber air buat negeri jiran.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut sudahpun dibangkitkan beberapa kali namun belum ada daripada Kerajaan Persekutuan biarpun telah diperakui di dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) kedua.

Menurutnya, Kedah juga telah mengemukakan pampasan RM200 juta berhubung perkara tersebut oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dalam sidang Parlimen pada Februari lalu.

“Dalam RFN tersebut, sudah dibuat keputusan untuk bagi. Sekarang sudah pun masuk RFN keempat, masih belum dapat. Tidak ada formula, sedangkan formula bukan susah pun, ‘raja formula’ kan ada boleh tanya dia.

“Untuk simpan sawah padi kita ada bagi formula, banyak kali sangat dah. Sampai sekarang tak keluar apa. Mereka nak pakai formula apa pun saya tak tau,” katanya semasa ditemui pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, dekat sini.

Muhammad Sanusi menjelaskan perkara tersebut dibangkitkan bukan bertujuan untuk berpolitik kerana membabitkan hak rakyat di negeri ini yang sekian lama telah berkorban untuk negara.

“Pandanglah wajah kita dengan hati jernih, fikiran yang bersih. Jangan kerja nak cari kesalahan kita dan nak tindas saja. Lupakan politik sementara waktu.

“Apa yang saya cakap ini bukan pasal politik, ini perjuangan Kedah. Bukan politik parti saya, tetapi untuk rakyat Kedah. Ketika saya jadi MB, saya cakap untuk rakyat Kedah. Sila dengar, kalau tidak saya akan ulang lagi,” ujar beliau lagi.

Dalam ucapan perasmiannya, Muhammad Sanusi berkata, Kedah perlu berkorban agar tanah sawahnya dikekalkan bagi tujuan pertanian dan telah membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras negara.

“Tanah bendang kita tidak boleh diubah menjadi tanah industri yang sepatutnya memberikan pulangan lebih banyak. Kita juga terpaksa korbankan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar terutama di Hulu Muda untuk kawasan tadahan bagi membekalkan air kepada Kedah termasuk Pulau Pinang dan Perlis,” maklum MB Kedah itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com