KOTA BHARU: Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang diperkenalkan kerajaan menerima sambutan menggalakkan daripada syarikat swasta hingga melebihi sasaran ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sokongan padu itu menunjukkan kesediaan syarikat besar dan gergasi untuk bersama-sama kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta memperkukuh sektor pendidikan.
“Di Malaysia ini, kita ada syarikat-syarikat besar… ada yang melabur puluhan bilion dolar, jadi saya minta mereka pilih kampung untuk dijadikan kampung angkat.
Baru-baru ini saya juga menggesa syarikat mengambil sekolah sebagai sekolah angkat, sasaran asal hanya 300 sekolah, tetapi hasil gesaan itu, 1,000 sekolah termasuk di Kelantan telah diambil oleh syarikat swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Program Kampung Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses Internet dan fasiliti komuniti.
Manakala Sekolah Angkat MADANI memberi fokus kepada usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dengan kerjasama agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta.
Program itu menyediakan sokongan jangka panjang dalam lima bidang utama iaitu infrastruktur, akademik, latihan guru, bantuan kewangan serta pembangunan sahsiah pelajar.