Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Lebih RM100 juta disalurkan Malaysia bantu Palestin

Lebih RM100 juta disalurkan Malaysia bantu Palestin

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Malaysia akan menyalurkan dana lebih RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri berkata, ia akan disalurkan ke tabung kemanusiaan selewat-lewatnya minggu ini.

“Saya dah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-Allah, hari khamis sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, RM100 juta disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung kemanusiaan dan perubatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, katanya, Malaysia berdepan kekangan untuk menyalurkan bantuan tersebut dengan lancar ketika beliau mengadakan perbincangan dengan beberapa negara seperti Turkiye dan Mesir.

“Israel enggan membuka sempadan mereka, jadi ada tiga pesawat Turkiye sudah sampai ke pelabuhan sempadan Gaza, tetapi sempadan Rafah di Gaza tidak dibuka. Beberapa negara lain seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengirim bantuan perubatan makanan tapi tersangkut kerana kerajaan pemerintah zalim Israel telah menghalang pembukaannya.

“Maka dimaklum kepada Mesir, sekiranya dibuka sempadan akan dibenarkan dan dipaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza menyeberang, pihak kita mahu dibuka sempadan untuk mengirim makanan dan perubatan jadi ini tidak dilakukan dan apa yang berlaku disekat dan dibom kemasukan di Salah al-Din,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya bantuan kemanusiaan disegerakan dan meminta supaya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara barat tidak terus bersikap hipokrit dalam menghulurkan bantuan.

“Saya telah memberi mandat penuh kepada menteri luar untuk berbincang dan mengambil apa sahaja keputusan untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan dan apa juga tindakan akan disepakati negara-negara jiran supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya juga telah diberi pengakuan daripada ketua-ketua negara mengundang kita untuk bersama seandainya perlu, Malaysia akan bersama rakan-rakan kita jiran-jiran dan negara Arab dan negara lain yang lebih menunjukkan simpati dan kefahaman termasuk Russia dan China,” katanya

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com