Thursday, 14, August, 2025
Utama Negeri 10,200 liter diesel cuba diseludup, 21 warga asing diarah keluar

10,200 liter diesel cuba diseludup, 21 warga asing diarah keluar

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan menyeludup lebih 10,200 liter diesel bersubsidi menggunakan kenderaan yang diubah suai berjaya dipatahkan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama agensi penguat kuasa lain pada pagi Selasa.

Dalam operasi yang berlangsung di sempadan utara tanah air itu, enam buah kenderaan iaitu tiga lori treler dan tiga pikap ditahan selepas pemeriksaan mendapati kesemuanya telah diubah suai dengan tangki tambahan yang disembunyikan secara kreatif.

“Tangki tambahan pada treler dipasang di bawah casis, manakala pikap pula diletakkan di atas dek. Dari luar, kenderaan kelihatan kosong, tetapi pemeriksaan teliti berjaya mengesan pengubahsuaian tersebut,” kata Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Kesemua kenderaan dipercayai digunakan untuk menyeludup diesel ke negara jiran, dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM380,600 termasuk nilai kenderaan dan bahan api.

“Pemandu tidak ditahan, namun kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, mereka dipercayai beroperasi pada waktu puncak seperti hujung minggu, awal pagi atau lewat malam, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kenderaan terbabit dipercayai masuk ke Malaysia dengan membawa barangan dan mengisi minyak sebelum keluar semula ke negara jiran.

Mohd Nasaruddin berkata, harga diesel di negara jiran seperti Myanmar boleh mencecah RM15 seliter, menjadikan penyeludupan bahan api bersubsidi sebagai aktiviti yang menguntungkan.

“Kami percaya pengumpulan diesel dilakukan di sebelah negara jiran. Mereka ambil dari stesen minyak atau gudang industri di Malaysia sebelum dibawa keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari sama, seramai 21 warga asing dikenakan Notis Penolakan Masuk selepas pemeriksaan teliti mendapati mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

Mereka terdiri daripada empat lelaki warga China, dua lelaki Thailand, seorang lelaki India, seorang lelaki Pakistan dan 13 wanita Thailand.

“Ada yang dokumen rosak, ada yang beri jawapan ragu ketika soal siasat, dan ada juga yang membawa wang tunai dalam jumlah kecil yang tidak munasabah untuk melancong,” jelas beliau.

Kesemua individu itu diambil tindakan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar pulang ke negara asal atau ke negara ketiga yang mereka datang sebelum itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com