Wednesday, 1, May, 2024
Utama Negeri Maritim rampas 160 set bubu naga bernilai hampir RM20,000

Maritim rampas 160 set bubu naga bernilai hampir RM20,000

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya merampas 160 set bubu naga dalam empat siri rampasan yang dijalankan di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah sepanjang minggu ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi ini merupakan rondaan pemantauan rutin yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemeriksaan semasa rondaan di lokasi berkenaan oleh pihak Maritim Malaysia.

Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu dan meletakkan pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS yang mencurigakan pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM20,000 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com