PUTRAJAYA: Laman Malaysia MADANI, sebuah landskap beridentiti nasional yang menggabungkan elemen reka bentuk berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, dilancarkan di Taman Botani di sini pada Rabu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata laman berkenaan bukan sekadar taman hiasan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap prinsip serta aspirasi MADANI.
“Laman Malaysia MADANI menjadi simbol dan manifestasi gagasan negara yang inklusif, lestari dan menyatu. Arca logo MADANI di tengah laman melambangkan keyakinan terhadap hala tuju negara, manakala mural perpaduan menggambarkan hormat dan ihsan sesama kita.
“Bunga-bunga ikonik tanah air pula menjadi bahasa kasih, kesejahteraan dan kebersamaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laman Malaysia MADANI dan naskhah khas Shamsul Azri: 365 Hari Menjunjung Amanah di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud; dan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Shamsul Azri berkata, laman itu turut menonjolkan elemen daya cipta dan kemampanan seperti bangku daripada bahan kitar semula serta pencahayaan tenaga solar pada waktu malam.
“Inisiatif ini adalah terjemahan hidup kepada nilai-nilai MADANI, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, hormat, ihsan, daya cipta dan keyakinan,” katanya.
Beliau memaklumkan, projek itu akan diperluas ke 10 taman awam lain di Putrajaya bagi memastikan nilai MADANI diterapkan secara meluas dalam masyarakat.
“Insya-Allah semua taman ini akan mempunyai Laman MADANI masing-masing. Matlamatnya supaya rakyat memahami dan mengamalkan nilai murni yang menjadi teras MADANI,” katanya.
Mengenai buku Shamsul Azri: 365 Hari Menjunjung Amanah terbitan INTAN, beliau berkata naskhah itu merakamkan pencapaian serta refleksi perjalanan setahun menerajui reformasi perkhidmatan awam.
“Sepanjang tempoh itu, saya belajar bahawa kepimpinan bukan hanya memberi arahan, tetapi juga mendengar, memahami dan membuat keputusan sukar demi kebaikan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang dijadual berlangsung Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dijangka menghimpunkan kira-kira 3,000 penjawat awam.
MAPPA bakal menjadi platform penting untuk menyampaikan amanat kerajaan kepada penjawat awam selain memperkukuh iltizam dan kesepaduan melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam selaras aspirasi Malaysia MADANI.