KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima inisiatif baharu bagi memperkukuh kesejahteraan penjawat awam serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan negara.
Lima inisiatif itu merangkumi penambahbaikan skim perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemberian insentif akademik kepada penjawat awam, pemerkasaan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), pelanjutan program APEL.Q dan pemansuhan syarat cuti haji.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
- Penambahbaikan Skim ATM
Kelayakan masuk skim Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM (Gred Z1 – Tugas Khusus) diperluas kepada tujuh bidang termasuk Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.
Selain itu, Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kini meliputi Sarjan (Gred Z4) dan Staf Sarjan (Gred Z5) dengan tempoh perkhidmatan dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun.
Langkah ini memberi manfaat kepada 3,789 anggota dengan implikasi kewangan RM6.47 juta setahun bermula 1 Januari 2026. - Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA)
Penjawat awam yang menamatkan pengajian menggunakan perbelanjaan sendiri layak menerima insentif sekali sepanjang perkhidmatan.
Kadar bayaran ialah RM1,250 (PhD), RM1,000 (Sarjana), RM750 (Ijazah Sarjana Muda) dan RM500 (Diploma/setaraf).
Langkah ini melibatkan peruntukan RM75.7 juta dan bakal memberi manfaat kepada 91,672 pegawai merentasi semua skim perkhidmatan. - Pemerkasaan INTAN
Sebanyak RM3 juta diperuntukkan termasuk RM1 juta untuk latihan dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan PQC.
RM1 juta lagi bagi menjadikan INTAN sebagai pusat rujukan dalam tadbir urus, modal insan, penyampaian perkhidmatan dan kerjasama awam-swasta, manakala RM1 juta diperuntukkan untuk penerbitan INTAN Country Report setaraf laporan OECD dan Bank Dunia. - Pelanjutan Program APEL.Q
Program ini dilanjutkan sehingga 2026 dengan bantuan yuran pengajian sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000.
Peruntukan RM1.5 juta disediakan bagi membolehkan penjawat awam melanjutkan pengajian melalui pengiktirafan pembelajaran terdahulu. - Pemansuhan syarat cuti haji
Penjawat awam tetap kini boleh memohon cuti haji tanpa perlu memenuhi syarat pengesahan perkhidmatan, mengambil kira tempoh giliran menunaikan ibadah itu yang panjang.
Anwar berkata, kelima-lima inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam terus diberi perhatian seiring keperluan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan negara.