CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka rundingan awam selama dua minggu bagi mendapatkan pandangan masyarakat mengenai cadangan kerangka peraturan baharu untuk menangani pesanan elektronik komersial tidak diingini atau spam.
Inisiatif itu selaras dengan penguatkuasaan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang dipinda dan diwartakan pada Februari lalu.
MCMC dalam kenyataan berkata, peraturan baharu itu bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, memastikan pemasaran digital dilakukan secara lebih bertanggungjawab, selain memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai.
Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan kini sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas serta berkesan untuk mengekang peningkatan penghantaran spam.
“Rundingan awam ini mengundang maklum balas daripada pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar, dan orang awam. Semua pihak dijemput meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan,” menurut kenyataan itu.
Rundingan awam tersebut dibuka mulai 13 Ogos hingga 5 petang, 27 Ogos depan. MCMC berkata, usaha itu menggambarkan komitmen mereka terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif serta berasaskan bukti.