ALOR SETAR:Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka peraturan baharu bagi menangani mesej spam mendapat perhatian orang ramai yang mahu perlindungan lebih tegas terhadap pengguna.
Seorang kakitangan swasta, Khairuddin Ishak, 52, berkata mesej promosi berulang kali daripada syarikat perkhidmatan sering menimbulkan gangguan kerana tiada pilihan untuk berhenti menerima iklan tersebut.
“Setiap mesej iklan sepatutnya wajib ada pilihan unsubscribe. Pengguna patut diberi hak untuk memilih sama ada mahu terus menerima mesej atau tidak, bukan dipaksa terima setiap hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, seorang eksekutif, Sakinah Abdul Kadir, 35, pula mencadangkan mesej iklan dihadkan pada waktu tertentu sahaja agar tidak mengganggu ketenteraman pengguna.
“Bayangkan kita sedang berehat malam, tiba-tiba mesej promosi masuk pukul 11 malam.
” Ia sangat mengganggu. Saya harap peraturan baharu ini akan melarang syarikat menghantar mesej pada waktu tidak sesuai,” katanya.
Kedua-dua mereka turut berharap MCMC menyediakan saluran aduan yang lebih mudah agar rakyat biasa boleh melaporkan mesej spam tanpa prosedur yang rumit.