Tuesday, 26, August, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan MADANI fokus kurangkan defisit fiskal, kawal hutang baharu

Kerajaan MADANI fokus kurangkan defisit fiskal, kawal hutang baharu

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI konsisten mengurus kedudukan kewangan negara dengan lebih berdisiplin, meskipun isu hutang sering dijadikan bahan serangan politik.

Membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, beliau berkata defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 5.6 peratus kepada 4.1 peratus, dan dijangka turun lagi kepada 3.8 peratus pada tahun hadapan.

“Sering disebut kononnya kerajaan menambah hutang. Hakikatnya, hutang baharu berjaya diturunkan – daripada RM100 bilion kepada RM90 bilion, kemudian RM80 bilion dan kini sekitar RM70 bilion. Yang meningkat hanyalah hutang keseluruhan kerana komitmen lama termasuk faedah pinjaman terdahulu,” jelasnya.

Anwar menambah, sasaran lima tahun akan datang adalah menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus, sekali gus memastikan paras hutang negara terus kekal di bawah 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada masa sama, kerajaan menyasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM77,200 menjelang 2030, melepasi ambang negara berpendapatan tinggi.

Di bawah kerangka Reformasi Pengurusan Projek dan Fiskal, RMK13 turut merangkumi beberapa langkah strategik termasuk mengehadkan perbelanjaan tidak mendesak, mengetatkan kawalan terhadap jaminan pinjaman syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta melaksanakan rasionalisasi subsidi secara berperingkat dan bersasar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com