Thursday, 4, September, 2025
Utama Nasional PM hadiri majlis gala SCO bersama Presiden China di Tianjin

PM hadiri majlis gala SCO bersama Presiden China di Tianjin

oleh Ammar Haziq

TIANJIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis makan malam gala Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Tianjin Meijing, malam Ahad.

Anwar hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan disambut mesra Presiden China, Xi Jinping serta isteri, Peng Liyuan. Majlis itu dianjurkan Xi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak SCO.

Perdana Menteri tiba di Tianjin bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke China yang turut merangkumi kunjungan rasmi ke Beijing.

Anwar yang juga Pengerusi ASEAN dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus dengan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh hubungan ASEAN-SCO.

Beliau dijangka menegaskan peranan Malaysia sebagai jambatan strategik dalam memperluas kerjasama perdagangan, ekonomi dan pelbagai sektor lain antara kedua-dua blok.

Sidang Kemuncak SCO tahun ini dianggap terbesar sejak ia mula dianjurkan, dengan Tianjin bandar raya pelabuhan utama dan pusat perindustrian utara China menjadi tuan rumah.

SCO ditubuhkan di Shanghai pada 2001 oleh China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan, sebelum keanggotaannya berkembang merangkumi Pakistan, India, Iran serta Belarus.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com