ALOR SETAR: Bantuan khas kerajaan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula dikreditkan kelmarin benar-benar memberi kelegaan kepada rakyat apabila wang RM100 one-off itu boleh terus ditebus menggunakan MyKad sehingga 31 Disember 2025.
Seorang ibu kepada tiga anak, Haliza Mat Isa, 48, dari Sik, berkata bantuan itu sangat membantu dirinya yang hanya bergantung kepada hasil jualan nasi lemak.
“Sebelum ini saya dapat SARA RM200 sebulan. Kali ini Perdana Menteri umum pula RM100 one-off. Memang kami sangat gembira kerana pendapatan saya tak menentu, terutama musim hujan, kadang-kadang duit terputus.
“Kami suami isteri dapat seorang RM100. Orang mungkin nampak kecil, tapi bagi kami sangat bermakna sebab anak-anak masih belajar,” katanya.
Bagi Faizal Zakaria, 45, dari Pedu,Padang Terap, bantuan SARA ibarat ‘durian runtuh kecil’ buat keluarganya yang hidup bergantung kepada hasil getah dan hutan.
“Rasa seronok dapat berbelanja lebih sedikit bulan ini sebab ada duit SARA. Saya kerja menoreh getah, cari hasil hutan untuk sara keluarga. Bantuan macam ni memang sangat membantu,” katanya.
Sementara itu, Wahid Hanapiah, 67, pula berharap kerajaan dapat terus memberi lebih perhatian kepada warga emas sepertinya yang sudah tidak mampu bekerja.
“Kebanyakan kami hanya bergantung pada anak-anak. Tapi sekarang rasa lega sebab boleh beli beras dan barang keperluan dengan MyKad sendiri. Terima kasih kerajaan,” katanya.
SARA yang diumumkan kerajaan sebelum ini memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira jumlah pendapatan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan warga emas.