Thursday, 4, September, 2025
Utama Ekonomi Anwar tonjol kekuatan ekonomi Malaysia di Dialog Perniagaan Malaysia-China

Anwar tonjol kekuatan ekonomi Malaysia di Dialog Perniagaan Malaysia-China

oleh Ammar Haziq

BEIJING: Malaysia memiliki dasar ekonomi yang jelas dan berstruktur, merangkumi strategi semikonduktor, peta jalan kecerdasan buatan (AI) serta pelan induk pembangunan industri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keyakinan tinggi negara serantau terhadap Malaysia membolehkan negara membangunkan infrastruktur kritikal merentasi sempadan, khususnya dalam bidang tenaga.

“Kita bercakap tentang pemindahan tenaga yang luas. Malaysia telah memuktamadkan Grid Kuasa ASEAN (APG) melalui kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung, bersambung ke Singapura, selain menghubungkan Sarawak ke Sabah, Indonesia dan Filipina.

“Ini membuktikan kita memiliki grid kuasa ASEAN, dan ia adalah tenaga alternatif yang mencerminkan keyakinan besar terhadap polisi Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China di sini.

Dialog yang dianjurkan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCBC) itu menghimpunkan lebih 120 pemain industri dari kedua-dua negara. Ia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Anwar berkata, jemputan khas yang diterima beliau daripada Presiden China, Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus 2025 meskipun Malaysia bukan negara anggota atau pemerhati, adalah tanda kepercayaan tinggi terhadap hubungan dua hala.

Selain memperkukuh kerjasama sedia ada, Anwar mendedahkan beliau bersama Xi serta Perdana Menteri Li Qiang turut mencapai kesepakatan untuk meneroka bidang baharu, termasuk penyelidikan dan pendidikan mengenai potensi ekonomi biru, nadir bumi dan semikonduktor.

“Kepercayaan ini sangat luar biasa. Walaupun Malaysia bukan anggota SCO, saya tetap dijemput secara peribadi sebagai tetamu Pengerusi. Ini bukti hubungan erat dan saling percaya di antara Malaysia dan China,” katanya.

Beliau menambah, China bukan sekadar rakan dagang terbesar, malah banyak membuka ruang pelaburan bernilai tinggi di Malaysia, termasuk dalam sektor pusat data, AI dan telekomunikasi dengan syarikat seperti ZTE dan Huawei.

“Malaysia kini berperanan sebagai hab tenaga serantau ASEAN. Kita juga menjadi hab semikonduktor antarabangsa dengan syarikat besar dunia, termasuk dari China, menjadikan Malaysia lokasi operasi, ibu pejabat dan pusat pengembangan mereka,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com