Sunday, 7, September, 2025
Utama Nasional Perarakan kemenangan ingatkan kepentingan pertahan kedaulatan negara – PM

Perarakan kemenangan ingatkan kepentingan pertahan kedaulatan negara – PM

oleh Ammar Haziq

BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perarakan Kemenangan sempena 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua anjuran kerajaan China sebagai peringatan tepat bahawa kedaulatan sesebuah negara mesti sentiasa dipertahankan.

Beliau berkata, mesej itu semakin relevan ketika landskap geopolitik dunia kini bergolak dan sistem antarabangsa kian terjejas serta tidak stabil.

“Bagi saya, sambutan ini mengingatkan bahawa negara harus bebas, merdeka dan berdaulat. Kebebasan itu mesti dihormati.

“Pengalaman pasca Perang Dunia Kedua, bagaimana China bangkit menentang keganasan dan penjajahan, menjadi pengajaran kepada masyarakat hari ini, terutama di rantau kita,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di Beijing, semalam.

Anwar turut mengaitkan kekejaman rejim Israel di Gaza sebagai contoh nyata bagaimana kedaulatan dan hak rakyat terus dicabuli tanpa tindakan tegas daripada masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri antara pemimpin asing yang dijemput Presiden China, Xi Jinping untuk menghadiri perarakan tersebut di Dataran Tiananmen.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus 2025 di Tianjin, Anwar berkata walaupun Malaysia bukan anggota SCO, beliau hadir sebagai tetamu khas atas jemputan Xi bagi berkongsi pandangan mengenai isu global semasa.

“Kita manfaatkan peluang ini untuk hadir dan memberi pandangan,” katanya.

Anwar turut menegaskan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan mandat dalam menyelesaikan krisis dunia utama telah menjejaskan pengaruh global badan itu. Perkara itu juga diakui Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang turut hadir pada persidangan berkenaan.

Selain itu, beliau turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala di sela-sela sidang kemuncak, antaranya dengan Pemangku Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing bagi meneliti proses damai di negara itu menjelang lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hujung bulan ini.

Pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly pula memberi tumpuan kepada isu Gaza susulan kekejaman berterusan rejim Zionis.

“Saya tanya perkembangan semasa di Gaza. Ramai pemimpin yang hadir turut membangkitkan isu kezaliman di Gaza dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.

Anwar juga sempat berbincang dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; serta Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli mengenai kerjasama memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau dijadual berlepas pulang ke tanah air tengah hari Rabu selepas menghadiri Perarakan Kemenangan dan jamuan rasmi yang dianjurkan Presiden China.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com