PETALING JAYA: Gagasan Negara Madani bukan sekadar tertumpu kepada aspek politik atau ekonomi semata-mata, sebaliknya merangkumi nilai iman, ihsan, rahmah dan keadilan sebagai asas pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prinsip tersebut memastikan pembangunan material seiring dengan pendidikan, akhlak dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan ini terbuka menerima teguran dan bersedia memperbaiki kelemahan. Namun teguran mesti berlandaskan akhlak, bukan cercaan atau fitnah.
“Dengan semangat saling menasihati, kita dapat mengangkat martabat umat, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata dasar-dasar kerajaan termasuk peningkatan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum adalah antara manifestasi nilai ihsan dalam pentadbiran Madani.
Terdahulu, Anwar menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling dan menunaikan solat Jumaat bersama ratusan jemaah tabligh.
Beliau turut diberi ruang menyampaikan tausiah bersempena Program Temu Mesra Madani anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa semangat perjuangan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah adalah teladan utama bagi umat Islam.
Selain itu, beliau turut mengimbas sejarah perjuangan Salahuddin al-Ayyubi yang memakmurkan masjid dan membangkitkan roh jihad serta kesedaran umat sehingga membawa kepada pembebasan Baitulmuqaddis.
“Persiapannya adalah kekuatan masjid, roh perjuangan, perpaduan masyarakat serta peningkatan ilmu.
“Hari ini, ada yang punya ilmu tetapi tidak ada kesedaran, dan ada pula yang punya kesedaran tanpa keberanian untuk melangkah dalam perjuangan,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan ulama dan guru yang banyak berjasa dalam membimbing masyarakat secara hikmah.
“Semoga roh perjuangan dan semangat dakwah bil hikmah ini terus menyinari langkah kita membina Malaysia Madani yang berakar pada iman, ilmu dan akhlak Rasulullah SAW,” ujarnya.