Sunday, 7, September, 2025
Utama Nasional Rakyat bebas protes, tapi jangan sampai langgar undang-undang – PM

Rakyat bebas protes, tapi jangan sampai langgar undang-undang – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak menghalang rakyat untuk mengadakan protes asalkan ia dilakukan secara sah tanpa membabitkan keganasan, ugutan atau fitnah.

Beliau berkata, rakyat bebas menyuarakan pendapat dan membuat bantahan, namun tindakan melampau seperti membakar rumah pemimpin atau menyebarkan fitnah tidak boleh diterima.

“Kita tidak (akan) menghalang, tapi mahu protes isu apa? Sedangkan sekarang elaun menteri dipotong, gaji menteri tidak ambil, minyak turun, peruntukan kepada rakyat bertambah dan lain-lain sudah diumumkan dan kita boleh pertimbangkan dalam belanjawan.

“Tetapi untuk memperoleh semua itu, negara kena aman, kerja kena kuat dan ekonomi kena berkembang,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan protes yang berlaku di Indonesia berlaku di negara ini sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan.

Protes di Indonesia tercetus bermula Isnin lalu susulan kemarahan rakyat terhadap elaun mewah diterima Ahli Parlimen, dan insiden seorang penunggang p-hailing, Affan Kurniawan, dilanggar serta digilis kenderaan polis ketika menyertai demonstrasi menuntut gaji lebih adil.

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob di Jakarta yang didakwa bertanggungjawab dalam insiden kematian Kurniawan.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling sebelum menghadiri Program Temu Mesra MADANI anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di lokasi sama.

Anwar berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan negara kekal aman, ekonomi terus berkembang dan pelaburan masuk bagi kesejahteraan rakyat.

“Tidak ada salah rakyat mengemukakan apa jua pandangan tetapi jangan hingga bakar rumah ketua (pemimpin) ataupun membuat tindakan yang melanggar undang-undang. Jika itu berlaku, polis akan ambil tindakan. Ada orang kata ini mengekang kebebasan, itu tidak betul.

“Begitu juga fitnah, tuduhan kononnya sokong Israel atau jadi ejen Israel, itu semua biadab, tidak berakhlak,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com