Sunday, 14, September, 2025
Utama Nasional Kepelbagaian budaya tunjang kekuatan Malaysia

Kepelbagaian budaya tunjang kekuatan Malaysia

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia adalah kekuatan utama negara yang perlu dipertahankan, bukannya sesuatu yang menimbulkan kebimbangan.

Beliau berkata, kehebatan Malaysia terserlah apabila rakyatnya bersedia menerima dan menghormati warisan pelbagai kaum yang membentuk identiti nasional sejak merdeka.

“Kehebatan kita datang daripada kesediaan menerima warisan negara ini, dengan setiap suku kaum mempunyai kekuatan tersendiri dan semuanya menyumbang kepada kecantikan serta keunikan Malaysia,” katanya.

Anwar berucap demikian ketika merasmikan Festival Budaya Malaysia 2025 “Wow Malaysia” yang berlangsung malam tadi, dengan pelbagai persembahan tradisional dan moden ditampilkan.

Katanya, Malaysia perlu terus mengangkat kekayaan budaya melalui penghayatan bersama, bukan sekadar mengenali tetapi juga menghormati dan memartabatkan kehebatan setiap kaum.

Perdana Menteri menambah, pandangan sempit segelintir pihak yang menolak kepelbagaian tidak boleh menjadi asas dalam membina negara bangsa.

“Malaysia berbeza kerana kita merangkul kekayaan budaya ini, sedangkan ada pihak kecil melihat hanya pandangan mereka yang betul tanpa menghargai kepelbagaian,” jelasnya.

Menurut beliau, pemimpin luar turut mengagumi keharmonian masyarakat Malaysia yang jelas ditonjolkan dalam persembahan budaya ketika menerima tetamu antarabangsa.

Dalam aspek bahasa, Anwar menegaskan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa rasmi dan lambang penyatuan, namun hak setiap kaum untuk menguasai bahasa ibunda masing-masing tetap dihormati.

Festival Budaya Malaysia 2025 menawarkan lebih 68 aktiviti budaya di enam zon utama seluruh negara, mempamerkan gabungan tradisi dengan inovasi yang mencerminkan wajah Malaysia moden.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com