Tuesday, 16, September, 2025
Utama Ekonomi Malaysia perkukuh komitmen multilateralisme melalui SCO dan BRICS

Malaysia perkukuh komitmen multilateralisme melalui SCO dan BRICS

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh komitmen terhadap multilateralisme dengan membuka lebih banyak pasaran melalui kerjasama perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara bersama saluran CGTN yang dikendalikan Zheng Junfeng baru-baru ini, Anwar berkata langkah awal Malaysia menyertai Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) susulan jemputan Presiden China, Xi Jinping, telah membuahkan hasil positif dan menggalakkan kerjasama selanjutnya.

“Kami telah melihat keberkesanannya, dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan SCO. Namun, anda lihat keseluruhan strategi pada masa ini termasuk dari Malaysia, dan saya menggalakkan rakan-rakan saya di ASEAN untuk membuka hubungan dalam perdagangan dan pelaburan serta memperluas asas pasaran.

“Kita mempunyai ASEAN, dan kita ada ASEAN+, iaitu China, Korea, Jepun dan semua negara lain. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah mempunyai mekanisme baharu, libat urus baharu seperti SCO, BRICS,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, Anwar berkata mesyuarat itu akan disertai pemimpin Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada, yang disifatkan beliau sebagai langkah luar biasa bagi rantau ini.

Dalam pada itu, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 25 kilometer hingga ke sempadan Thailand.

“Kami tidak akan berhenti setakat di utara, malah akan dilanjutkan ke sempadan Thailand. Diharapkan, dengan kerajaan Thailand yang baharu atau kerajaan sedia ada memandangkan mereka sedang melalui proses peralihan, kami akan mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan untuk melanjutkan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada kejayaan kenderaan elektrik (EV) di China melalui kerjasama jangka panjang Proton bersama Geely.

Beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Geely, Li Shufu, dan kerjasama itu akan terus diperkukuh dengan sokongan kerajaan kedua-dua negara.

“Kami akan melancarkan pengembangan secara besar-besaran Geely di bandar automotif, dan Geely akan memulakan pengeluaran hibrid terlebih dahulu dan seterusnya EV,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com