Wednesday, 17, September, 2025
Utama Nasional Pertumbuhan ekonomi mesti seiring nilai kemanusiaan dan budaya

Pertumbuhan ekonomi mesti seiring nilai kemanusiaan dan budaya

oleh Ammar Haziq

BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan berteraskan teknologi baharu, namun pencapaian itu tidak boleh mengorbankan budaya, budi pekerti dan nilai kemanusiaan.

Berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di Pusat Konvensyen PICCA@Arena pada Selasa, beliau berkata kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan transisi tenaga penting bagi masa depan negara, tetapi tetap perlu disandarkan kepada karamah insaniah.

“Kita mahu maju dalam bidang ekonomi, AI, digital dan transisi tenaga, tetapi pada masa sama mesti tinggi budaya dan budi pekerti, tidak meninggalkan nilai kemanusiaan,” katanya di hadapan ribuan hadirin.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Menurut Anwar, cabaran utama kepimpinan kini ialah memastikan ekonomi terus melonjak dengan pembaharuan menyeluruh yang menjamin kesejahteraan rakyat. Beliau menekankan peranan Pulau Pinang sebagai antara negeri terawal memacu industri berteknologi tinggi sebelum berkembang ke Kulim Hi-Tech di Kedah dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak.

Beliau berkata Sarawak kini muncul sebagai hab tenaga hijau dan fabrikasi berteknologi tinggi di rantau Asia, manakala Sabah berpotensi merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di negara ini menjelang 2026 sekiranya pembangunan berterusan dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Bayangkan, 30 atau 50 tahun lalu keadaan sangat berbeza. Hari ini, Sarawak sudah mampu bersaing dengan negeri-negeri di Semenanjung. Sabah pula jika konsisten dengan pembangunan dan hubungan erat dengan Persekutuan, mampu melonjak sebagai negeri paling pesat berkembang,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com