KUALA LUMPUR: Denda RM100,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap akhbar Sin Chew Daily dan Sinar Harian perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh etika kewartawanan serta tanggungjawab media, bukannya tindakan mengekang kebebasan bersuara.
Ketua Cabang KEADILAN Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata tindakan itu selaras dengan undang-undang dan penting bagi memastikan media lebih teliti serta tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan simbol negara mahupun institusi keselamatan.
“Kesalahan Sin Chew menerbitkan Jalur Gemilang yang cacat tidak boleh dianggap remeh kerana ia membabitkan simbol kedaulatan negara. Kegagalan ini menunjukkan kelemahan serius dalam kawalan editorial dan proses semakan. Itu lebih berbahaya berbanding denda yang dikenakan,” katanya.
Mengulas kes Sinar Harian, beliau menyifatkan laporan palsu yang mengaitkan Ketua Polis Negara dengan parti politik sebagai lebih serius kerana boleh menjejaskan imej serta kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.
“Menuduh seseorang tanpa asas, apatah lagi tokoh penting keselamatan, adalah lebih berbahaya berbanding nilai denda. Ia mampu menimbulkan keraguan awam terhadap integriti pihak berkuasa,” ujarnya.
Asheeq menjelaskan kedua-dua kes itu berpunca daripada kelemahan semakan fakta dan editorial, sedangkan editor seharusnya berperanan sebagai benteng terakhir memastikan kandungan akhbar tepat dan seimbang.
Beliau menegaskan denda itu bukan berbentuk hukuman subjektif, sebaliknya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) dan denda dikeluarkan mengikut Seksyen 243, selepas mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.
“Walaupun dianggap berat, denda ini perlu dilihat sebagai langkah pencegahan untuk memastikan media lebih bertanggungjawab. Ia bukan untuk mengekang kebebasan media, tetapi melindungi integriti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
Asheeq turut mengingatkan bahawa perbahasan mengenai kebebasan media bukan isu baharu di Malaysia, namun tindakan MCMC kali ini berbeza dengan pendekatan terdahulu yang pernah dikaitkan dengan tekanan politik.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang ini memberi penekanan kepada akauntabiliti profesional berbanding kawalan politik, seterusnya menggalakkan media mengawal selia kandungan mereka sendiri dengan lebih beretika.
Beliau menambah, media perlu mengangkat standard kewartawanan ke tahap lebih tinggi bagi mengekalkan kepercayaan awam, terutama dalam era digital yang penuh cabaran.
“Ini bukan sekatan, sebaliknya peluang untuk memperkukuh kredibiliti. Media yang beretika dan bertanggungjawab akan terus dihormati serta diyakini rakyat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan,PAS mengecam kompaun RM100,000 yang dikenakan oleh SKMM ke atas penerbit Sin Chew Daily dan Sinar Harian.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyuarakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Majlis Media Malaysia (MMM) mengenai kompaun itu, yang telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Parti pembangkang itu menyifatkan kompaun berkenaan sebagai melampau dan kelihatan seperti membuli media supaya mematuhi garis politik, tekanan dan kehendak kerajaan tertentu.