Monday, 22, September, 2025
Utama Nasional RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September, bubsidi bersasar dilaksana

RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September, bubsidi bersasar dilaksana

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 menerusi pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI95.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan manfaat subsidi dinikmati secara lebih adil oleh rakyat Malaysia, selain mengekang ketirisan akibat pembelian oleh golongan yang tidak layak.

“Semua warganegara dengan lesen memandu aktif secara automatik layak menikmati harga subsidi ini tanpa mengira tahap pendapatan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, pagi tadi.

Melalui pelaksanaan BUDI95, setiap rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter untuk membeli RON95 pada harga subsidi.

Namun begitu, pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan mereka boleh memohon kuantiti lebih tinggi mengikut keperluan operasi harian.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, golongan bukan warganegara tidak termasuk dalam skim berkenaan dan perlu membeli RON95 pada harga tanpa subsidi, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Beliau menegaskan pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat terus kepada rakyat, malah menzahirkan keadilan dalam agihan subsidi kerajaan.

“Kerajaan mahu pastikan setiap ringgit subsidi benar-benar dinikmati rakyat Malaysia, bukan sebaliknya disalah guna pihak lain,” katanya lagi.

Pelaksanaan harga baharu RON95 ini dijangka memberi kesan positif terhadap perbelanjaan isi rumah, khususnya golongan pertengahan dan berpendapatan rendah yang selama ini bergantung kepada bahan api tersebut bagi keperluan harian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com