Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi ATM hargai inisiatif BUDI95, ringan beban kos sara hidup anggota

ATM hargai inisiatif BUDI95, ringan beban kos sara hidup anggota

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman inisiatif penyasaran subsidi di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata langkah itu dijangka memberi manfaat besar kepada kira-kira 120,000 anggota ATM dengan membantu meringankan beban kos sara hidup.

Menurutnya, warga ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati manfaat tersebut lebih awal bermula Sabtu, 27 September 2025, iaitu tiga hari sebelum tarikh kuat kuasa rasmi pada 30 September.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri yang memberikan akses lebih awal kepada warga ATM mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Di bawah program itu, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05 seliter, dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.

Mohd Nizam turut menegaskan komitmen ATM dalam melaksanakan amanah mempertahankan negara.

“ATM amat menghargai keprihatinan dan sokongan padu Kerajaan Malaysia terhadap kebajikan warganya dan akan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” ujarnya.

Perdana Menteri sebelum ini menjelaskan penjimatan hasil penyasaran subsidi BUDI95 akan diagihkan semula demi manfaat rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Mulai 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com