Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi Malaysia komited perkukuh ekonomi digital ASEAN

Malaysia komited perkukuh ekonomi digital ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh ekosistem digital serantau melalui tiga teras utama iaitu kepercayaan digital, inovasi sebagai pemacu ekonomi dan kerjasama ASEAN yang lebih erat.

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, berkata perkara itu digariskan bersempena Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang julung kali dianjurkan bersama GSMA sempena Pengerusi ASEAN 2025.

Katanya, kepercayaan digital menjadi asas penting dalam membina ekosistem selamat dengan Malaysia memperkenalkan undang-undang baharu termasuk Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

“Selain itu, kempen advokasi keselamatan internet juga telah menjangkau lebih 150,000 rakyat, sekali gus meningkatkan kesedaran serta keyakinan pengguna terhadap ruang digital,” katanya dalam ucaptama di The Westin Kuala Lumpur, di sini.

Beliau turut menegaskan inovasi sebagai enjin utama ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai USD300 bilion dan dijangka mencecah lebih USD1 trilion menjelang 2030.

“Di Malaysia, program Geran Digital PMKS Madani, pelaksanaan JENDELA serta rangkaian 5G telah memberi impak positif kepada komuniti dan perniagaan. Setakat ini, liputan 5G telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk,” katanya.

Teo menambah, kerjasama serantau menjadi tunjang transformasi digital ASEAN dengan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan bersama negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa.

Antara langkahnya termasuk peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi, dan maju bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com